Usah Cemarkan Imej PM, Fokus Pemulihan Negara – Mohd Sharkar


KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mencemarkan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui penularan grafik yang tidak benar.

Katanya, mereka sepatutnya memberi peluang kepada pentadbiran Ismail dalam usaha memulihkan negara kesan daripada penularan pandemik COVID-19.

“Kita beri peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan pentadbiran serta hala tuju negara ini jangan cepat menuduh dan mengatakan benda-benda yang kecil… ini bukan perkara mendasar.

“Perlu fikirkan ke arah positif jangan kita berpolitik 24 jam menuduh di antara satu sama lain sedangkan kita mesti tengok apakah sebenarnya yang dicapai oleh Perdana Menteri sampai sekarang dan sejak beliau tadbir konflik politik semakin reda.

“Mereka sudah tidak ada isu besar sebab kalau kita tengok Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) beliau mengetengahkan isu yang kritikal iaitu perubahan cuaca. Ini suatu perkara besar yang sedang dibincangkan oleh dunia,” katanya ditemui ketika menjadi juri pada Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dan Ketua-ketua Penerangan UMNO Negeri.

Beliau berkata demikian sebagai respon ekoran tular infografik ‘100 Hari Perdana Menteri: Kad laporan KPI Ahmad Maslan dibebaskan daripada pendakwaan, Rosmah dapat balik pasport untuk melancong ke Singapura dan Zahid dibenarkan untuk terbang ke Jerman dan kini Najib memohon untuk diberi semula pasportnya’.

Mengulas lanjut Ketua UMNO Bahagian Temerloh itu berkata sedangkan ketika pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH), pemimpin mereka juga terbabit dalam isu yang sama.

“Kalau kita hendak ungkit balik masa PH dahulu Lim Guan Eng dalam perbicaraan pun dilepaskan juga. Datuk Seri Anwar Ibrahim pun pernah juga diberikan pasport pergi mendapat rawatan ke Jerman.

”Ini secara nyata hanyalah merupakan war-war yang berbentuk provokasi politik daripada pihak pembangkang.

“Mereka sengaja tularkan poster tersebut kerana nama yang disebut dalam infografik tu ada kaitan dengan UMNO,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.