Tewaskan 38 Pencabar Lain, Wakil Perak Juara Pertandingan Pidato Piala Presiden 2021


KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pertandingan Pidato Piala Presiden 2021 berakhir sebentar tadi menyaksikan wakil dari Perak, Mohammad Farhan Mokhali berjaya menewaskan 38 peserta lain untuk menjadi juara.

Tidak menjangka beroleh kemenangan, pemuda berusia 24 tahun ini mengucapkan terima kasih kepada Penerangan UMNO Negeri Perak serta UMNO Bahagian Lumut yang memberikannya peluang menyertai Pertandingan Pidato Online sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Penerangan UMNO Perak kerana memberikan panduan dari segi latihan dan persiapan ketika di peringkat negeri dan sekarang.

“Sudah tentu terima kasih juga kepada keluarga, tunang serta rakan-rakan pemidato yang sertai pada hari ini, juga UMNO Bahagian Lumut saya ada berjumpa dengan Ketua Bahagian, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang memberikan beberapa input ke dalam hujah-hujah saya.

“Persiapan untuk menyediakan teks itu dalam seminggu akan tetapi kami di negeri Perak dapat latihan itensif selama dua hari satu malam anjuran daripada Penerangan UMNO negeri jadi itu sebenarnya cukup membantu dalam aspek teks dan juga pendapat dari pelatih-pelatih,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Mohammad Farhan yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran Universiti Teknologi MARA itu membawa pulang trofi Piala Presiden UMNO, wang tunai RM5,000, trofi iringan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga dimenangi wakil Sabah, Mohd Fikri Mohd Jumat membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 manakala tempat ketiga DG Sabrina PG Jaafar memperoleh RM1,000, masing-masing turut menerusi trofi iringan dan sijil.

Terdahulu, pelbagai gelagat dan celoteh daripada pemidato menghiasi Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang berlangsung selama dua hari di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn.

Kesemua peserta ini terlebih dahulu dipilih setelah menyertai Pertandingan Pidato Online mewakili bahagian di peringkat negeri dan tiga terbaik secara automatik bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.