Pidato Piala Presiden UMNO 2021…Forum Marathon Anak Muda Yang Perlu  Ada Kesinambungan – Shabery Cheek


KUALA LUMPUR, 17 Okt –  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melihat Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 merupakan salah satu forum marathon anak muda yang perlu ada kesinambungan supaya masyarakat di luar tidak melihat UMNO hanya tertumpu kepada soal politik semata-mata.

Beliau yang juga ketua juri pertandingan tersebut berkata pelaksanaan selama dua hari menyerlahkan segala-galanya antara lain memperlihatkan kejayaan program itu sendiri yang cukup memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

“Pertandingan ini menjadi forum marathon anak muda selama dua hari. Jadi macam mana kita nak sambung marathon ini supaya orang melihat bahawa melalui UMNO ini orang tidak bercakap soal politik semata-mata… kerusi sana kerusi sini… nak kuasa dan sini. Orang dapat menonton dan melihat anak muda yagh menggunakan platform UMNO untuk menyatakan pandangan.

“Selepas enam tahun Pidato Piala Presiden UMNO yang dianggap piala berprestij dalam negara ini tidak berjalan, hari ini peringkat akhir kita dapat mengumpulkan seramai 39 peserta dan selama tiga hari dan saya ikuti secara langsung… tahniah kepada Shahril Hamdan selaku ‘managernya’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang disempurnakan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Tun Hussein, PWTC.

Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pimpinan yang lain.

Shabery seterusnya menambah perbahasan atau kupasan daripada para peserta yang berpaksikan kepada tajuk atau topik yang diberikan oleh pihak penganjur cukup menarik malah memperlihatkan masing-masing telah melaksanakan ‘homework’.

“Sepanjang perbahasan dan ucapan-ucapan yang kita dengar semalam adalah tajuk yang dipilih…. Semua tajuk yang dipilih amat relevan bukan sekadar di kalangan peserta pemidato tetapi sepatutnya menjadi wacana di kalangan kita peringkat pimpinan tertinggi UMNO.

“Pasal rezab Melayu, tajuk besar… alam sekitar tajuk besar, pasal pengundi bandar UMNO boleh survive atau tidak tajuk besar… apa yang perlu dibuat… dibahaskan oleh anak muda… nampaknya masing-masing buat ‘homework’ yang cukup baik.

“Daripada satu sudut lain saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana kita tidak perlu berada di dalam dewan untuk mengikutinya kerana ianya disiarkan secara online dan ianya menjadi satu ‘content’ media yang baik yang akan kekal dalam Facebook UMNO Online sampai bila-bila,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.