Penerangan UMNO Perlu Bergerak Dua Ufuk Masa, Pastikan Kesinambungan Perjuangan – Shahril


KUALA LUMPUR, 17 Okt – Penerangan UMNO hari ini perlu bergerak bukan hanya sekadar untuk ahli parti semata-mata malah jauh merungkai dalam konteks masyarakat di kalangan bukan ahli UMNO itu sendiri supaya tidak tertumpu kepada ahli parti sahaja.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata Penerangan UMNO pada ketika ini perlu mengubah caranya dan apabila disebutkan ubah cara bukan hanya menyesuaikan diri dengan normal baharu secara online tetapi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ianya perlu beroperasi bercakap kepada rakyat.

“Perubahan yang saya maksudkan sebenarnya menjelang PRU-15 perlu beroperasi bercakap kepada rakyat serta pengundi dan bukan hanya kepada ahli.

“Peralihan ini amat-amat mustahak kerana adakalanya kita dibuai atau sibuk dengan perkara yang asas… menjelaskan isu kepada ahli, menjernihkan sesuatu polemik kepada audiens UMNO sahaja tetapi kita terlepas pandang andai kata Penerangan UMNO itu tidak bercakap terus kepada pengundi. Maksud saya topik yang dibawa mestilah mesra kepada pengundi.

“Maksud saya kupasan yang dibuat mestilah mesra kepada pengundi. Cara kita bawa sesuatu isu… penceritaannya sepertimana yang disebutkan Datuk Seri Shabery tadi… bukan hanya mesra kepada tiga juta ahli UMNO tetapi kepada puluhan juta di luar kerangka ahli parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang disempurnakan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Tun Hussein, PWTC.

Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pimpinan yang lain.

Tambah Shahril lagi, keduanya mesej yang ingin ditekankan ialah laksanakan anjakan minda dalam merencana kesinambungan perjuangan UMNO itu sendiri.

“Apabila bercakap tentang perjuangan UMNO dan pengkaderan pejuang-pejuang UMNO, kita mesti melihat dua ufuk masa. Kita tidak boleh hanya melihat persiapan PRU-15 walaupun itu yang nyata di depan mata dan hakiki, tetapi pengkaderan tiada ertinya jika hanya ‘one year horizon’… maknanya kita boleh lihat hanya dalam masa setahun… kita buat perkara boleh untung dalam lima tahun dan paling kuat dalam politik kita fikir ‘next election’… paling panjang lima tahun.

“Kalau itu sahaja ufuk masa yang dilihat saya khuatir soal pengkaderan tidak dapat dicapai sepenuhnya. Jadi dengan pidato seumpama ini, bukan hanya topiknya tetapi pembabitannya merentasi generasi… ada yang senior, separa senior dan ramai juga yang muda-muda,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.