Kestabilan Politik Amat Bermakna Lancarkan Pentadbiran – Ahmad Maslan

HANG TUAH JAYA, 17 Okt – Setiausaha Agung UMNO (SUA) Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kestabilan politik baik dalam negeri ataupun sesebuah negara sangat penting untuk kelancaran pentadbiran.

Katanya, jika sesebuah negeri itu tidak mempunyai kestabilan politik yang baik maka segala pentadbiran akan menjadi sesuatu yang cukup sukar untuk rakyat.

“Betapa pentingnya kestabilan diwujudkan di negeri Melaka ini kerana jika politik dan pentadbiran tidak stabil akan menyebabkan kesukaran mentadbir dan kesukaran juga bagi rakyat, termasuklah pelabur asing untuk melabur dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program santai bersama SUA UMNO di pekarangan Masjid Nur Saadah, Hang Tuah Jaya hari ini.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohamad Ridhuan Tun Ali, Setiausaha UMNO BPUN Melaka, Datuk Mustpha Musa serta jentera-jentera UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berpandangan mandat yang sebenar bagi sebuah negara yang demokrasi berparlimen adalah menyerahkan sepenuh kuasa kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat.

“Percaturan wakil rakyat bukannya mandat sebenar dalam satu-satu demokrasi berparlimen terutama dalam negara kita. Yang paling mujarab untuk kestabilan ialah mandat sebenar rakyat yang perlu dikembalikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak lama lagi dan saya tidak tahu tarikhnya… jika segera maka segera kita bersiap, jika lambat pun kita mesti bersiap,” ujarnya.

Sementara itu dalam satu pertemuan dengan jentera-jentera UMNO di Alor Gajah beliau menyarankan semua pihak untuk sama-sama bekerja kuat bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau nak menang PRN kena dekati semua, kena dekati pengundi Orang Asli, Melayu, Cina dan India serta seluruh rakyat yang lain. Kalau hendak menang kena dapat undi semua dan tidak boleh hanya undi Melayu, kalau tidak dicampur dengan undi Cina, India, Orang Asli, orang Felda dan orang kampung, jadi kita hendak semuanya dan harus berbaik dengan semua. Insya-Allah dan mudah-mudahan mendapat kemenangan serta kejayaan.

“Insya-Allah kalau sempat saya akan pergi 28 DUN. Ianya sangat penting untuk parti UMNO menerajui bersama Barisan Nasional (BN) demi berkhidmat untuk rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.