Hari Terakhir Pidato Piala Presiden UMNO 2021, Hujahan Bernas Pemidato Meneruskan Rentak

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Hari terakhir Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 meneruskan rentaknya dengan pelbagai gaya peserta yang beraksi hari ini.

Memberikan lontaran perbahasan yang bernas serta berfakta, masing-masing sebaik mungkin menunjukkan keyakinan yang tinggi untuk merebut juara bagi sesi tahun ini.

Pemidato dari Pahang, Nurul Aini Mohd Shah memilih untuk mengenakan pakaian songket, beliau memilih tajuk ‘Jenama UMNO Mampu Terpahat Di Hati Orang Muda, Bagaimana?’

Peserta daripada Cameron Highland itu menggariskan beberapa perkara yang pada pandangannya mampu mengubah masa depan negara.

“UMNO telah 75 tahun berada di persada perjuangan politik negara, tempoh yang panjang namun perjuangannya tidak pernah berubah sejak era pengasasnya, Dato Onn Jaafar ketika menentang Malayan Union.

“Namun selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu (PRU14) membawa perubahan dengan kekalahan UMNO. Bertitik tolak dari ini membawa kesedaran kepada golongan muda bahawa UMNO satu satunya parti yang mampu memperjuangkan hak dan nasib mereka kerana selama 22 bulan berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang menyeksakan, mereka sudah bangun dari gula-gula yang dijanjikan PH,” katanya.

Meneruskan hujahannya, Nurul Aini berkata kekalahan pada waktu itu tidak sesekali memjatuhkan UMNO malah kebajikan kepada rakyat tetap berterusan meskipun tidak dipuncak kuasa.

“UMNO jaga masyarakat di luar bandar, walaupun tidak jadi kerajaan tapi masih berbakti, UMNO kini sudah utamakan peranan anak muda, bagi peluang kepada mereka untuk sumbangkan idea. Menjadi saksi pada Januari 2017 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaysia melalui Program Transformasi Nasional 50 dilancarkan.

“Majlis ini telah dihadiri oleh 500 orang belia bagi menyuarakan aspirasi mereka buat Malaysia, ianya angkat anak muda buat polisi dan dasar kerajaan, yang perlukan tiga dekad untuk lihat hasilnya.

“Namun kedua-dua faktor belum cukup untuk jadi pilihan golongan muda, mahu tidak mahu pemimpin UMNO perlu menggunakan sosial media sebagai platform untuk menyalurkan pendapat serta mendekati golongan muda tidak kira pemimpin veteran atau yang muda tiada pengecualian buat anda,” katanya.

Sementara itu, pemidato dari Perak meneruskan hujahan seterusnya dengan memilih tajuk ‘Model Politik Barisan Nasional (BN) Terbukti Terbaik Perbandingan Dengan Parti Lain’.

Segak memakai baju kebangsaan, Nazmi Md Zain menggariskan analisa ‘3Q’ yang membuktikan bahawa gabungan BN membawa jenama yang berbeza berbanding parti yang lain.

“Q yang pertama adalah quality leadership, selama enam dekad UMNO menerajui Tanah Melayu berkorban berkongsi kuasa demi memastikan keamanan keharmonian bumi tercinta ini. Pilihan raya 1955 UMNO bertanding 35 kerusi MCA 15 kerusi MIC bertanding dua kerusi.

“50 daripada 52 kerusi daripada kerusi yang dipertandingkan adalah kawasan majoriti orang Melayu namun demi memastikan kemenangan, demi membentuk sebuah kerajaan, demi mencapai kemerdekaan orang UMNO orang Melayu sanggup mengundi daripada parti bukan Melayu.

“Kerana apa, kerana kejayaan UMNO menyatu padukan orang Melayu kerana kejayaan UMNO menyatu padukan pelbagai bangsa kerana kejayaan UMNO terbukti dalam lipatan sejarah berjaya menguburkan Malayan Union pada 1946,” ujar beliau.

Sementara itu, katanya yang seterusnya adalah quality achievement, ianya menyaksikan UMNO/BN telah berjaya melakar kejayaan selama enam dekad yang lalu melalui pencapaian memulakan dasar-dasar yang menjadi saksi kepada kemajuan negara.

“Pertama pada 1970 Dasar Ekonomi Baharu cetusan idea Tun Abdul Razak yang telah merubah kehidupan rakyat dan landsap negara ketika itu, kedua Dasar Wawasan Negara Tun Mahathir Mohamad yang dahulu bukan yang sekarang, ketiga dasar Wilayah Ekonomi Koridor yan dibawa Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Keempat dasar gagasan rakyat 1Malaysia merupakan aspirasi seluruh semua rakyat Malaysia UMNO/BN memberi peruntukan memberi bantuan kepada ke seluruh pelusuk negara tanpa mengira fahaman politik tanpa mengira perbezaaa agama dan warna kulit.

“Inilah yang dilakukan oleh UMNO/BN menguntungkan rakyat bersama modul serta formula yang terbukti terbaik menjamin kesejahteraan rakyat,” hujahnya.

Quality membership membawa kepada pengisian terakhir apabila Nazmi melalui perbahasannya berkata UMNO beruntung kerana mempunyai kekuatan jentera parti yang sebaik mungkin membawa agenda parti ke arah manfaat bersama.

“Bagaimana UMNO/BN mampu bertahan teraju negara kerana jawapannya ada pada anda yang membantu perjuangan parti tanya pada diri anda adakah anda sanggup berkongsi benda yang sangat berharga dengan orang lain.

“Allah rakamkan dalam surah Al Maidah ayat ke-2, hayati pengertiannya kerana inilah yang dilakukan oleh UMNO/BN dari dahulu kini dan selamanya berkorban berkongsi kuasa demi memastikan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pada sebelah petang.

Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 membuka tirainya semalam dengan perasmian dilakukan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di Auditorium Menara Dato’ Onn.

Penganjuran pertandingan ini juga berlangsung dengan pematuhan SOP serta dilakukan tanpa kehadiran penonton dan ianya disiarkan secara langsung di platform Facebook dan Youtube UMNO Online.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.