Pidato Piala Presiden: UMNO Buka Ruang Untuk Anak Muda, Jangan Beri Persepsi Dan Hukum Parti

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang membuka tirainya hari ini dengan membariskan 39 orang peserta mewakili negeri dari seluruh negara dianggap sebagai ruang terbaik memberi penjelasan kepada orang ramai berkaitan parti.

Wakil Peserta UMNO Pahang, Nabil Fiqri Nor Azmi berpandangan anak-anak muda haruslah mencari ruang dan peluang untuk mendekatkan diri kepada UMNO.

Jelasnya, pendekatan UMNO pada golongan muda sangat bermakna bagi meneruskan generasi seterusnya.

“Anak muda harus mendekatkan diri pada UMNO, tonjolkan idea dan kebolehan. Saya yakin dan percaya ‘orang lama’ dalam UMNO juga mengimpikan generasi-generasi penerus pada UMNO.

“Saya kena buka gelanggang yang penuh keramat ini dengan penuh santun dan sopan sebagai anak muda yang tidak punya apa-apa pengalaman dan ilmu kerana saya menganggap sebagai anak muda yang perlu ditunjuk ajar dan perlu diluruskan perjalanan saya dalam UMNO ini,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, untuk pertandingan akhir Piala Presiden UMNO ini beliau sebenarnya datang membawa inspirasi anak muda.

Bagi peserta dari Terengganu, Abdul Latif Mat Jusoh berkata pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO membuktikan terdapat lebih 20 peserta adalah anak muda.

“Saya rasa tidak relevan ada sesetengah pendapat yang memberikan persepsi bahawa UMNO tidak memberikan peluang dan saya sendiri pun adalah anak muda malah ramai peserta dari Pemuda dan Puteri yang mendapat peluang ini.

“Sebenarnya ini bukan satu masalah dan bukannya satu topik yang memberikan persepsi untuk menghukum UMNO dan saya rasa itu adalah tanggapan yang tidak betul.

“UMNO sebenarnya telah memberikan peluang yang terbaik kepada anak muda untuk satu platform iaitu anak muda boleh meneruskan lagi perjalanan UMNO pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu wakil dari Melaka Hairul Amin Madon berkata sebenarnya tidak timbul isu bahawa UMNO tidak membuka ruang kepada generasi muda.

“UMNO sentiasa membuka ruang kepada anak muda seluas-luasnya untuk bersama dengan parti. Segala aktiviti dalam program penerangan mengupas isu-isu yang berlaku dalam negara sama ada dari sekecil-kecil isu hingga sebesar-besar isu.

“Program yang sebegini amat baik kerana dapat melahirkan pemidato-pemidato yang hebat dan mudah-mudahan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya serta menarik golongan muda bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mengembleng tenaga dan merampas kembali serta memberi sumbangan usaha agar negara kembali aman dan makmur,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.