Mesyuarat Cawangan: UMNO Bukan Perjuangan Sementara, Bangkitlah Kembali Wahai Para Pejuang!

TUARAN, 16 Okt – Mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah bermula semalam (15 Okt) hingga 30 Nov depan melibatkan 191 bahagian di seluruh negara.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran mengajak para pejuang parti untuk bangkit kembali.

Katanya, UMNO sudah ditalkinkan tapi tidak mati, dihina tidak melatah, difitnah tidak menyerah, ditinggalkan tidak lenyap, dikalahkan tapi tidak pernah berputus asa.

“Bangkitlah kembali wahai para pejuang! Mari kita kembali dan bingkas dengan semangat baru. Perbaiki parti dan diri. Serahkan jiwa dan raga untuk kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Jelasnya, UMNO bukan perjuangan sementara kerana ia adalah perjuangan merentasi masa dan kepimpinan.

“Apa jua sifat yang baik kita kekalkan, yang lemah kita perkasakan, yang berpotensi kita majukan dan yang buruk kita tinggalkan.

“Ayuh kita bina semula negara dengan asas yang lebih kukuh, adil dan saksama. Kita amal akan ketelusan, amanah dan kebertanggungjawaban. Selamat bersidang dengan penuh amanah.

“Gelorakan semangat perjuangan di puluhan ribu cawangan UMNO di seluruh negara, kerana hakikatnya di sanalah, di akar umbi, kekuatan sebenar parti bernama UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.