Selamat Bersidang, Manfaatkan Mesyuarat Cawangan Untuk Perkukuh UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak ahli-ahli parti di akar umbi untuk memanfaatkan mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang bermula hari ini sebagai ruang terbaik bagi memperkukuh parti.

Katanya, UMNO adalah parti yang berteraskan ahli-ahli di akar umbi maka sewajarnya mesyuarat Cawangan adalah pentas untuk suara dari parti untuk diangkat ke peringkat atasan.

“Persidangan peringkat Cawangan ini adalah antara bukti kewujudan UMNO yang mempunyai struktur mantap, organisasi tersusun di semua peringkat dan ditunjangi oleh lapisan masyarakat dari segenap penjuru negara.

“Inilah parti yang mempunyai asas tujuan berteraskan realiti dan kita jadikan mesyuarat Cawangan ini sebagai landasan untuk kembali perkukuh UMNO, iaitu bermula dari rakyat sebagai ahli akar umbi, kembali kepada rakyat jugalah perjuangan kita ini,” katanya dalam kenyataan sempena bermulanya mesyuarat UMNO peringkat Cawangan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya yakin dengan permuafakatan anggota parti, melaksanakan khidmat setiap masa dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran maka tentunya tidak mustahil untuk UMNO kembali menjadi teras negara pada pilihan raya kelak.

“Dalam kita melaksanakan mesyuarat Cawangan ini, janganlah pula lupa tentang SOP yang kita perlu terus patuhi. Moga kita terus dihindari sebarang musibah dan wabak penyakit.”

Dilaporkan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO menetapkan Persidangan UMNO Cawangan berlangsung bermula 15 Oktober hingga 30 November 2021 yang akan diadakan di 191 Bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.