Persidangan UMNO Cawangan, Kukuhkan Muafakat Bina Kekuatan Berpasukan – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 15 Okt – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan mesyuarat UMNO cawangan bakal menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperkukuh parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau ianya juga sebagai peluang untuk mengaplikasi semangat yang sedang membara agar dapat digembleng menjadi kekuatan bersama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi, selepas kita laksanakan mesyuarat cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat bahagian dan fokus kita pada bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Perwakilan Cawangan UMNO yang ketika ini berlangsung di seluruh negara bermula hari ini dan berakhir pada 30 November depan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, meskipun persidangan ini berjalan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 namun ianya bukan penghalang untuk ahli parti meneruskan agenda perjuangan.

“Selain pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, laksanakanlah mesyuarat dengan penuh semangat, berdispilin dan sentiasa menjaga imej parti,” ujar beliau.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berharap pemimpin serta ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas teruji oleh keputusan PRU14 lalu.

“Saya harap kepimpinan UMNO baik di peringkat cawangan dan bahagian perlu menekankan kerja berpasukan dalam memimpin UMNO ke arah kecemerlangan.

“Kita ketepikan dulu soal jawatan dalam bahagian atau soal calon pada pilihan raya akan datang yang penting kita perkemaskan jentera parti bagi menjamin kemenangan ketika berhadapan PRU nanti” jelas Bung.

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan ketua-ketua cawangan UMNO agar mengenalpasti ahli-ahli mereka yang masih berdaftar di peringat cawangan.

Tambah Bung keahlian parti di peringkat cawangan perlu dikemaskini bagi memudahkan gerak kerja semasa pilihan raya selain dapat menyemak status ahli yang sebenarnya kerana sebelum ini timbul aduan dari ahli UMNO cawangan yang nama mereka didaftarkan menjadi ahli parti lain di luar pengetahuan mereka.

“Data keahlian ini penting bukan sahaja untuk gerak kerja parti sekali gus memudahkan parti membantu ahli ahli parti yang berhadapan musibah dan sebagainya dapat dibantu serta merta,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.