Mesyuarat Cawangan UMNO: Ahli Parti ‘Tiang Seri’, Bawa Perjuangan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan ahli akar umbi, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai ‘tiang seri’ parti keramat ini untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata mereka ini merupakan harapan kerana di sebalik sejarah panjang UMNO, golongan ini yang meneruskan perjuangan parti di sebalik menempuhi pelbagai cabaran.

“Kamulah harapan nusa bangsa. Pejuang dan penegak kebenaran. Paksi kekuatan UMNO yang setia.

“Sejarah perjuangan UMNO sangat panjang, maka teruskan ia tanpa gentar dengan penuh keyakinan.

“Perkuatkanlah, perkasakanlah, perkukuhkanlah, perhebatkanlah demi sebuah perjuangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian bersempena dengan persidangan UMNO Cawangan yang bermula hari ini di 191 Bahagian.

“Selamat bersidang cawangan UMNO di seluruh negara bermula hari ini sehingga 30 November 2021.

“Mohonlah petunjuk Yang Maha Esa semoga mendapat inayah dan kekuatan dalam sebuah kemuafakatan,” ujar beliau.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada September lalu telah menetapkan bahawa tarikh persidangan cawangan diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November ini.

Manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian diadakan pada 11 Disember dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember 2021.

Begitu juga Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022. – UMNO ONLINE