Mesyuarat Cawangan Medan Perkukuh UMNO, Demi Kepentingan Rakyat Dan Negara – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap mesyuarat UMNO cawangan yang diadakan hari ini dapat dijadikan medan yang tepat bagi ahli di peringkat akar umbi membincangkan agenda memperkukuh parti keramat UMNO.

Beliau yang juga Perdana Menteri dan Ketua UMNO Bahagian Bera turut mengajak ahli UMNO untuk bersama berganding bahu bagi menjaga kemaslahatan negara demi kepentingan rakyat.

“Bersama kita membulat tekad, agar parti keramat UMNO sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua ahli UMNO cawangan-cawangan di seluruh negara!⁣

“Amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada September lalu telah menetapkan bahawa tarikh persidangan cawangan diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.