Cabaran Sekarang Adalah Memulihkan Imej Kerajaan Di Mata Rakyat – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata ada yang bertanya apakah yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri apabila mentadbir kerajaan.

Dr Najmil masih ingat ketika Ahli Parlimen Bera itu dipilih sebagai Perdana Menteri, rakyat meletakkan harapan tinggi kepadanya dan ada juga segelintir yang mengecam.

“Imej kerajaan telah dicalarkan oleh pentadbiran PH (Pakatan Harapan) dengan kegagalan menyelesaikan masalah domestik dan antarabangsa.

“Rakyat marah serta kecewa apabila negara dipimpin oleh kerajaan yang tidak efisyen. Begitu juga ketika kerajaan PN (Perikatan Nasional) hingga kita terpaksa membayar pampasan kepada Singapura berjumlah RM320.27 juta kerana pengangguhan projek HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi),” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Tambah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi, isu lain seperti tuntutan Pulau Batu Puteh, kes anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, pencabulan undang-undang zaman PH dan pelbagai lagi masalah turut gagal ditangani.

“Alhamdullilah selepas mesyuarat kabinet 8 Oktober 2021, Perdana Menteri telah membuat keputusan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan pembelaan terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib.

“Kerajaan juga turut bersetuju untuk menyemak semula undang-undang terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh. Sebelum ini, PM-7 (Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan kita hilang kedaulatan ke atas pulau ini apabila kerajaan menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman.

“Semasa pentadbiran kerajaan PH, pencabulan undang-undang merupakan perkara yang biasa. Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik,” katanya.

Justeru Dr Najmil berpendapat Ismail Sabri berdepan cabaran yang sukar untuk menjayakannya.

“Namun, saya yakin dengan komitmen beliau dan sokongan rakyat, kita akan berjaya.

“Imej kerajaan juga akan pulih beransur-ansur dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dapat dipertingkatkan. Rakyat berhak mendapatkan kerajaan yang efektif.

“Cukuplah sekali kita sengsara selama 22 bulan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.