Ahmad Zahid Jelaskan Pandora Papers Pendapatan Dari Luar Negara

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Pandora Papers yang dibangkitkan di Parlimen adalah pendapatan dari luar negara untuk di bawa ke Malaysia dan wang itu bukan diperoleh daripada sumber urus niaga dari Malaysia untuk dibawa ke luar negara.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Memandangkan perkara ini telah dibawa ke Parlimen, maka elok ia diperjelaskan sebelum ada pihak mengambil kesempatan politik.

“Antara lain tentang pembukaan akaun pesisir luar yang turut menyebut nama beberapa individu daripada Malaysia.

“Sebagaimana telah saya perjelaskan bahawa akaun pesisir luar membabitkan nama saya pada tahun 90-an dalam laporan tersebut bukanlah atas kapisiti peribadi. Sebaliknya atas urusan pelaburan sebuah syarikat tersenarai yang saya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut ketika itu.

“Dan seperti juga saya maklumkan ketika itu saya masih berada dalam sektor korporat. Belum lagi menjadi Ketua Pemuda UMNO mahupun Ahli Parlimen Bagan Datuk. Seperti saya terangkan, syarikat tersenarai yang saya ketuai berkenaan ketika Itu terlibat dalam pelaburan independent power producer (IPP) di China,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Jelasnya, pelaburan itu adalah pinjaman daripada sebuah institusi kewangan dan dilaburkan di negara tersebut bagi menambah pendapatan dan memperluaskan urus niaga.

“Bagaimanapun kerajaan China ketika itu mempunyai polisi/dasar bahawa sebarang keuntungan syarikat hendaklah dilaburkan semula di negara berkenaan.

“Justeru, kaedah terbaik kepada syarikat mengikut nasihat peguam ketika itu adalah meletakkan wang keuntungan pelaburan di akaun BVI.”

Ujarnya, ini supaya pada masa yang sesuai wang itu dapat dibawa masuk ke Malaysia untuk pembayaran dividen dan pembayaran cukai.

“Ia kerana sebuah syarikat tersenarai bertanggungjawab kepada para pemegang saham dan bertanggungjawab membayar cukai kepada kerajaan Malaysia.

“Seperti juga yang pernah saya maklumkan kepada Dewan Rakyat, wang itu telah pun dibawa masuk ke Malaysia dan cukai dikenakan oleh kerajaan.

“Syarikat itu ditutup selepas memperoleh hasil pelaburan di China, dividen diberi kepada pemegang saham dan pinjaman dibayar kepada institusi kewangan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.