Pidato Piala Presiden: Pemidato UMNO Siap Sedia Pamer Kebolehan Berhujah

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Persiapan peserta pidato dari UMNO Negeri Pulau Pinang bagi pertandingan pidato Piala Presiden UMNO yang bakal bermula Sabtu ini telah berada di tahap terbaik, kata Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Noor Ahmad.

Jelasnya, ketiga-tiga wakil dari UMNO Pulau Pinang telah siap siaga bagi menggalas amanah mewakili negeri dan menyampaikan hujah berdasarkan tajuk yang diberikan.

“Undi belum dijalankan lagi tetapi wakil pidato dari UMNO Pulau Pinang telah bersedia walaupun belum menerima tajuk namun ia tidak menjadi masalah bagi mereka.

“Harapan UMNO Pulau Pinang agar pemidato ini bakal menjuarai Piala Presiden UMNO 2021 tapi yang penting kena berusaha lebih kuat.

“Adat pertandingan ini mesti ada kalah dan menang tapi yang penting bukan hanya kemenangan sebaliknya penglibatan peserta paling penting dan dapat melahirkan pemidato-pemidato yang berkualiti di Pulau Pinang,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya lagi, UMNO Pulau Pinang sudah lama mengadakan perkaderan penerangan bagi mengasah bakat-bakat dan sebahagian besar dapat mewakili UMNO Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.

“Sebelum ini UMNO Pulau Pinang telah mengadakan lahidan dan perkaderan penerangan yang dilaksanakan setiap dua minggu sekali serta adanya guru pemidato untuk melatih mereka. Hasilnya sebahagian besar pemidato dapat mewakili UMNO Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.

“Latihan bagi pemidato ini telah lama dijalankan sama ada peserta baru hendak belajar atau pun yang sudah lama berpidato agar mereka dapat menjadi pemidato yang terbaik untuk UMNO Pulau Pinang,” ujarnya.

Untuk rekod, Penerangan UMNO Malaysia telah menganjurkan pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 pada 16 hingga 17 Oktober ini.

Pertandingan ini bakal menyaksikan seramai 39 orang peserta dari seluruh negeri dan hadiah akan disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari terakhir pertandingan. – UMNO Online