Muda Disayangi Yang Lama Disantuni, UMNO Konsisten Bersama Rakyat

SETIU, 14 Okt – UMNO sentiasa mengamalkan konsep generasi muda disayangi yang lama disantuni bagi mendekati rakyat termasuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan sebagaimana yang diaplikasi UMNO Bahagian Setiu.

Malah Ketua Penerangannya, Wan Yaakob Wan Ibrahim berkata melalui program-program yang dilakukan juga menyaksikan penglibatan daripada pelbagai peringkat umur.

“Aktiviti jangka panjang matlamat yang diamalkan oleh UMNO Bahagian Setiu adalah menyantuni yang muda dan mengasihi yang lama.

“Ini dilaksanakan dengan setiap aktiviti akan melibatkan semua generasi sama ada muda atau pun generasi veteran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui menghadiri majlis bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera dan Ketua UMNO Bahagian Besut Nawi Mohamad di Hotel Temu Primula Besut yang berlangsung baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata wakil rakyat di bawah Parlimen Setiu juga seringkali cakna dengan permasalahan rakyat dan sentiasa memberikan bantuan dengan segera.

“Wakil rakyat daripada UMNO yang diketuai oleh Ketua Bahagian Datuk Sabri Mohd Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap sentiasa mendekati rakyat dan sentiasa mengambil tahu hal rakyat.

“Ini dapat dilihat misalnya semasa masalah air terjadi di Kuala Nerus baru-baru ini, mereka juga mendapat perhatian ADUN Batu Rakit Bazlan Abdul Rahman yang turun padang mengagihkan air.

“Sama juga ADUN Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh boleh dikatakan sentiasa mendampingi sekiranya ada rakyat yang kesusahan sakit dan sebagainya,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.