Teruskan Bersama Rakyat, Pastikan Kebajikan Terbela Berdepan COVID-19 – Bung Moktar

KINABATANGAN, 13 Okt – Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ketua UMNO di sini, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin masyarakat untuk kerap turun padang menerangkan program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 rakyat khususnya di kawasan luar bandar berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya dari aspek kebajikan mereka.

Menurut Bung yang juga wakil rakyat kawasan Lamag, pemimpin masyarakat terutamanya ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemaju mukim dan lain lain perlu cakna kepada isu semasa dan segera menyalurkan maklumat kepada pemimpin atas agar tindakan pantas bagi membantu mereka yang terkesan dengan penularan pandemik COVID- 19 dapat dibantu.

Tegasnya, pendekatan itu bukan sahaja untuk menjelaskan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib rakyat, tetapi juga boleh menangkis tuduhan yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan.

“Pembangkang sekarang keluar masuk kampung beritahu rakyat akar umbi agar kepimpinan kerajaan harus diubah, walhal kita sekarang hidup dalam keadaan baik dan harmoni.

“Kita kena jaga negeri kita dengan baik. Jangan kita tersalah dengar cakap (pembangkang) sehingga kita akhirnya sedar keadaan sekarang lebih baik (berbanding di bawah kepimpinan pembangkang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pejabat ADUN dan Parlimen yang baru di pekan baru Bukit Garam seterusnya mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan tersebut baru-baru ini.

Jelas Bung Moktar, pemimpin masyarakat juga perlu bijak menyampaikan program dan dasar kerajaan agar rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha menjaga amanah rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang agar kehidupan rakyat lebih sejahtera.

“Tugas dan tanggunjawab kita sebagai pemimpin masyarakat akar umbi bukan sekadar duduk di pejabat tapi perlu turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang apa juga isu rakyat baik dari segi kebajikan dan pembangunan,” katanya.

Beliau yang Juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan penjawat awam negeri serta Persekutuan khususnya di kawasan itu kerana memudahkan kerjanya sebagai wakil rakyat.

“Kita berkerja sebagai satu pasukan untuk membangunan kawasan ini dalam menyediakan prasarana dan meningkatkan ekonomi rakyat,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.