Shahril Hamdan Ke Melaka, Teruskan Misi Penerangan Situasi Semasa Politik Negara

TANGGA BATU, 13 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan hari ini berkesempatan berkunjung ke Melaka bagi meneruskan misi memberi penjelasan berkenaan situasi semasa politik negara.

Program pertama beliau bermula dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan pidato online peringkat negeri yang telah berlangsung penghujung Ogos lalu dengan pemenangnya akan berentap dalam Pidato Piala Presiden.

“Kita meraikan finalis-finalis yang bakal beraksi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hujung minggu ini mewakili negeri Melaka.

“Tetapi dalam majlis itu juga kita mula memberikan sedikit penjelasan dan penerangan bagi membakar semangat ahli-ahli jentera penerangan khususnya untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berkenaan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kemudian kita laksanakan mesyuarat tertutup di mana perancangan itu diperincikan, diperhalusi dan gerak kerja seterusnya telah pun kita usahakan dan akan dilipat gandakan pada masa akan datang,” katanya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut berkesempatan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan pengurusan enam bahagian peringkat Pemuda.

“Peranan yang sama memberikan mesej supaya kita bersedia dengan sebarang kemungkinan dan dalam konteks pemuda ini saya fikir lebih kepada mesej yang serupa seperi disampaikan di tempat lain seperti di Terengganu tempoh hari untuk kita menyesuaikan pendekatan pengundi-pengundi baharu,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.

Beliau juga turut meluahkan pandangan bahawa meskipun PRN diadakan sebelum Januari tahun hadapan ianya bukan bermakna tidak akan berlakunya lambakan pengundian besar.

“Kita tidak boleh lupa bahawa dalam tempoh tiga tahun lalu iaitu semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 di situ pun ada penambahan pengundi yang besar dan demografi pengundi juga sudah berubah.

“Jadi itu pun sudah cukup untuk kita menyedari dan menginsafi bahawa pendekatan kita mesti sesuai dengan generasi,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.