Pidato Piala Presiden 2021: Panelis Sedia Pamer Kehebatan Berhujah

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang akan bermula pada 15 hingga 17 Okt ini bakal menyaksikan seramai 39 orang peserta mewakili negeri untuk berentap bagi merebut gelaran juara.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata pemidato yang mewakili UMNO negeri tersebut kini sudah cukup bersedia dari segi rohani dan jasmani menjelang pertandingan pidato Piala Presiden UMNO.

“Penerangan UMNO Negeri Perlis sudah melaksanakan bengkel-bengkel bagi peserta akhir pidato peringkat kebangsaan dan peserta tersebut telah mendapat tunjuk ajar dari ‘senior’ cara-cara atau kaedah pidato dengan persediaan dilaksanakan rapi.

“Sebelum menghantar wakil pidato ke peringkat kebangsaan Penerangan UMNO Perlis telah mengadakan kursus bagi peserta-peserta akhir pidato untuk memantapkan hujah, kemahiran komunikasi serta persembahan peserta.

“Kita jangkakan persembahan pidato yang bakal disampaikan oleh wakil UMNO Negeri Perlis adalah pidato yang cukup berkualiti dan berkemungkinan akan mendapat ‘ranking’ yang baik… Insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, UMNO negeri itu melahirkan keyakinan terhadap kemahiran dan kebolehan tiga wakilnya untuk berentap di peringkat Pidato Piala Presiden UMNO.

“UMNO Melaka akan menghantar tiga wakil ke peringkat kebangsaaan dan mereka akan mempamerkan kehebatan masing-masing berhujah bagi merebut Piala Presiden UMNO. Pertandingan ini dapat mencungkil bakat-bakat baru dan menyampaikan idea yang kritis dan kreatif serta memupuk semangat untuk berani tampil ke hadapan,” ujarnya.

Abdul Razak berharap pertandingan ini dapat mencapai objektif sekaligus  membantu parti dalam usaha melahirkan penceramah serta mampu menyampaikan hujah berkualiti dan dapat menangkis dakyah-dakyah pembangkang.

Terdahulu, kesemua peserta dipilih pada pertandingan pidato secara online yang telah selesai diadakan di 13 negeri baru-baru ini yang dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), Negeri dan Bahagian yang diadakan pada 9 hingga 31 Ogos lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.