Perkembangan COVID-19 Buktikan Rombak Pentadbiran Kerajaan Langkah Tepat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kadar jangkitan COVID-19 mengalami penurunan drastik daripada 10,915 kes pada 2 Oktober kepada 6,709 kes pada 11 Oktober 2021.

Sehubungan itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap bahawa perkembangan tersebut secara tidak langsung membuktikan usaha merombak pentadbiran kerajaan terdahulu adalah tepat.

“Syukur ke hadrat Allah S.W.T dengan inayah dan kehendak-Nya kes jangkitan COVID-19 di Malaysia semakin menurun.

“Kita terus berusaha, berdoa agar wabak yang telah meragut hampir 30,000 nyawa rakyat Malaysia sejak Mac 2020 adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Jelasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), hal tersebut juga membuktikan memang tiada keperluan pun untuk negara menggantung demokrasi bagi membendung penularan COVID-19.

“Tanpa kerajaan diberi kuasa mutlak sekali pun penularan wabak dapat dikurangkan kerana yang penting adalah vaksinasi. Sebab itu selain menggesa ‘total lockdown’ dilaksanakan semasa kes memuncak, kita kuat mendesak vaksinasi dipercepatkan.

“Desakan adalah demi kemaslahatan rakyat – cuma segelintir pihak agak ‘overthinking’ pada waktu itu mungkin kerana keterlaluan memikirkan sudut politik.

“Sebab itu juga kita percaya jika lebih awal program vakinasi dipergiatkan, mungkin sudah lama rakyat dapat dibenarkan merentas negeri bertemu insan tersayang.”

Ujar Ahmad Zahid, walau apa pun perkara yang telah berlaku itu jadikan sebahagian daripada sejarah yang tidak akan sama sekali dilupakan dengan mereka yang terkorban sentiasa dalam ingatan dan jadikan sejarah hitam itu sebagai iktibar masa depan.

“Bersama saling menginsafi apa yang terjadi meskipun dalam keseronokan pulang ke kampung halaman agar kita sentiasa ‘prudence’ dan berhati-hati,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.