Langkah Kerajaan Tubuh Pasukan Khas Berhubung Kes Pulau Batu Putih Wajar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa langkah kerajaan baharu menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji opsyen yang sesuai berhubung kes Pulau Batu Putih adalah wajar.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kemungkinan tindakan undang-undang ke atas pihak yang cuai kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah berpatutan.

“Sehingga hari ini rakyat masih tertanya-tanya mengapakah kerajaan 22 bulan tiba-tiba memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding semakan di ICJ.

“Kronologi isu ini mudah sahaja untuk difahami. Benar ICJ pada tahun 2008 memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah wilayah berdaulat Singapura, namun pada tahun 2017 Malaysia mempunyai bukti baharu untuk mendapatkan kedaulatan Pulau Batu Putih dan tarikh pendengaran untuk semakan ditetapkan pada Jun 2018,” katanya dalam kenyataan yang mengulas berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya.

Katanya, jelas sekali Malaysia mempunyai peluang untuk mendapatkan kembali Pulau Batu Putih.

“Usaha itu bagaimanapun ‘terbengkalai’ selepas kerajaan 22 bulan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tiba-tiba memutuskan tidak meneruskan semakan.

“Andai siasatan pasukan petugas khas mendapati berlaku kecuaian yang berlaku sememangnya disengajakan, ia bukan sahaja suatu kekhilafan, malah suatu pengkhianatan kepada negara,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Dilaporkan, dalam kenyataan Sabtu lalu, Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Penubuhan pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Pada 2018, kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018. – UMNO Online