Rentas Negeri: Ahmad Zahid Saran Sentiasa Jaga SOP, Lakukan Ujian COVID-19 Kendiri Sebelum Mulakan Perjalanan

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai agar patuhilah saranan kerajaan iaitu sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dan lakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

Ini kerana katanya, pasti ramai seronok dengan kebenaran merentas negeri kerana sudah terlalu lama rindukan kampung halaman dan mahu bertemu ahli keluarga serta sanak saudara.

“Bagi mereka yang bergejala seeloknya tangguhkan dahulu sehingga anda benar-benar sembuh daripada sebarang simptom. Pastikan kita bebas jangkitan.

“Kita telah berkorban begitu lama, maka tidak rugi bersabar untuk seketika lagi sebelum kita benar-benar selamat untuk ayah, ibu, suami, isteri, adik beradik dan rakan taulan di kampung.

“Marilah kita bersikap bertanggungjawab dalam perkara penting ini. Jangan kerana keseronokan yang singkat, tetapi penyesalannya tidak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Pada masa sama Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyarankan orang ramai mengatur perjalanan masing-masing untuk mengelakkan kesesakan yang diramal akan berlaku di kebanyakan tempat.

“Ramai menjangkakan pengumuman kebenaran rentas negeri ibarat ‘the biggest holidays’ atau perayaan terbesar untuk rakyat Malaysia.

“Begitu ramai akan memulakan pergerakan ke sana ke sini. Maka berhati-hatilah di jalan raya dan elakkan tempat yang padat dengan orang ramai untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

“Kita juga berharap pihak berwajib telah bersiap siaga untuk mengendalikan kesesakan lalu lintas bagi memudahkan urusan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.