Kemelut Melaka: Buatlah Keputusan Demi Kemaslahatan Rakyat Dan Negara – Sharkar

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Sama ada kerajaan melaksanakan darurat ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, segala keputusan yang bakal dibuat kelak biarlah ia dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara, demikian pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Jelas beliau apa yang penting, biarlah keputusan yang bakal diputuskan nanti berhubung kemelut politik Melaka dibuat secara berperlembagaan, musyawarah serta berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara.

“Apa pun situasinya kelak, kata putus dari kerajaan dalam pergolakan politik yang sedang berlaku di Melaka perlu tertumpu kepada aspek kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Biarpun negara hampir mencapai imuniti kelompok, namun pertimbangan sewajarnya dan juga terperinci perlu dibuat oleh kerajaan sama ada PRN Melaka boleh dilaksanakan ataupun ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Jelas beliau lagi dalam keadaan negara sedang berdepan dengan wabak pandemik COVID-19 yang mana penularannya masih lagi belum berakhir, tidak ada perkara yang lebih penting daripada kesihatan awam.

“Sebagai parti keramat orang Melayu, saya yakin dan percaya UMNO juga tidak akan berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

“Pada ketika ini, rakyat baharu sahaja menarik nafas lega selepas pelbagai kelonggaran diberikan oleh kerajaan termasuk ‘dine in’, bercuti dalam negeri dan selepas ini kebenaran untuk rentas negeri,” katanya.

Katanya lagi kerajaan perlu mengambil iktibar apa yang berlaku selepas PRN Sabah, kes positif meningkat bukan sahaja di sana malah di seluruh negara sehingga banyak sektor perniagaan terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Buatlah keputusan demi kemenangan dan kepentingan bersama rakyat dan negara mengatasi segalanya termasuk kepentingan politik,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.