Dakwaan Berkaitan Campurtangan Urusan MMKN Melaka Tidak Benar – SUK Melaka

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts. Kamel Mohamad hari ini tampil menafikan beberapa dakwaan  mengenai urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka khususnya perjalanan dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tersebut.

Dalam satu kenyataan media beliau menyatakan adalah tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat, malah semua keputusan yang dibuat semasa mesyuarat adalah muktamad dan keputusan bersama (collective decision).

“Kenyataan media ini merujuk kepada beberapa sidang media oleh YBhg. Datuk Seri Utama Ir. Ts. Hj. Idris bin Hj. Haron, mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Udang yang menyentuh mengenai urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka khususnya perjalanan dan keputusan MMKN.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka menafikan dakwaan bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan yang dibuat oleh MMKN. Semua keputusan yang dibuat semasa mesyuarat adalah muktamad dan keputusan bersama (collective decision),” katanya.

Katanya lagi, merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan dakwaan bahawa keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut.

Tegas beliau pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka juga memandang serius tohmahan mantan ADUN Sungai Udang bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum dalam membuat keputusan sebaliknya, MMKN sentiasa mengambil kepentingan semua rakyat Negeri Melaka tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka juga ingin memaklumkan bahawa setiap Ahli MMKN telah mengangkat sumpah kerahsiaan ‘untuk tidak memberitahu atau tidak  menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN’.

“Dalam hubungan ini Kerajaan Negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya terdapat pelanggaran, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang,” tambahnya. – UMNO Online