Undi 18: Kombinasi Kepelbagaian Peringkat Bakal Hasilkan Ramuan Ampuh Untuk Parti

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Exco Pemuda UMNO Bastien Onn melihat kombinasi muka baharu serta mereka yang lain di dalam parti akan dapat menghasilkan ramuan yang cukup ampuh dalam usaha memastikan UMNO terus bergerak ke depan terutama untuk mendepani cabaran.

Menurut beliau dengan penambahan undi di kalangan orang muda termasuklah undi 18 kelak, pihaknya percaya kerjasama serta muafakat yang terhasil itu sedikit sebanyak akan dapat memberi kelebihan sekaligus membantu parti berdepan cabaran semasa.

“Orang lama dan orang muda bergerak seiring…. dan kita melihat kepada penyelesaian permasalahan untuk bergerak sederap. Tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita menggarap tenaga orang muda dan digembleng dengan kebijaksanaan mereka-mereka yang telah lama bersama di dalam parti untuk menghasilkan ramuan yang ampuh,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, kemasukan pengundi baharu terutama undi 18 merupakan satu cabaran dan ianya bukan cabaran kepada UMNO semata-mata malah kepada semua parti-parti yang lain.

“Kita tidak harus menidakkan bahawa soal kemasukan pengundi baharu terutama undi 18 yang jumlahnya hampir 5 juta dan ini merupakan satu cabaran bukan sahaja kepada parti UMNO tetapi juga kepada semua parti politik dalam menyediakan manifesto dan juga sokongan terbaik kepada pengundi pertama kali ini. Kombinasi kepelbagaian peringkat boleh menghasilkan impak kepada UMNO.

“Saya juga melihat banyak gerakan daripada orang-orang muda secara bipartisan yang merasakan mereka tidak mahu lagi naratif politik dikongkong secara berterusan… mereka yang bipartisan ini tidak kiralah mana-mana parti melihat di sekeliling dan sebagai contoh pertukaran tiga kali kerajaan sejak PRU-14 yang lalu turut menjadi perhatian mereka.

“Perkara ini dilihat dan diambil berat oleh golongan muda yang merasakan kehidupan mereka terjejas. Kita tidak boleh mengambil pendekatan yang mudah kerana dalam keadaan krisis dua cabang ini iaitu kesihatan dan ekonomi, kita tambah lagi masalah kepada orang muda dengan permasalahan politik dan mereka merasa amat tertekan.”

Sepatutnya tegas beliau, politik menjadi jalan penyelesaian untuk orang muda tanpa menambah kepada permasalahan mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.