Urusetia MEDAC Di Setiap Parlimen Beri Kemudahan Kepada Usahawan – Azhari

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Cadangan untuk mewujudkan pengerusi dan urusetia di setiap parlimen bagi membantu menyampaikan maklumat dari Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) adalah langkah tepat bagi membantu rakyat yang ingin menceburkan diri dalam dunia usahawan.

Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Datuk Shaari berkata ramai di kalangan usahawan yang tidak tahu bagaimana dan cara untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan termasuklah peranan agensi dan sebagainya lagi.

“Saya sudah lama berkecimpung dalam dunia usahawan dan sudah ramai usahawan saya jumpa terutama usahawan di Shah Alam. Antara masalah utama usahawan adalah tidak tahu bagaimana dan cara untuk mendapatkan bantuan perniagaan daripada agensi-agensi kerajaan seperti TEKUN, PUNB, PERNAS, SME CORP, Amanah Ikhtiar, INSKEN dan banyak lagi.

“Usahawan-usahawan ini juga perlu dibimbing agar mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Azhari dengan langkah berkenaan sudah tentu mereka-mereka yang terlibat dengan keusahawan dapat dibantu dengan lebih tersusun sekaligus memudahkan mereka dalam mendapatkan maklumat dan sebagainya lagi.

“InsyaAllah dengan langkah seperti ini bukan sahaja dapat membantu usahawan dalam mengembangkan perniagaan, malah dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak,” katanya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.