Melaka: Jadikan Iktibar Peningkatan Kes COVID-19 Pasca PRN Sabah, Fokus Pada Rakyat – Shamsul Alang

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Keputusan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sama ada akan diadakan atau sebaliknya perlu dipertimbangkan dengan menjadikan PRN Sabah ke-16 tahun lalu sebagai iktibar, tegas Presiden Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBM), Datuk Samsul Alang Hamsah.

Ujarnya, walaupun pembubaran Dewan Undangan Melaka memaksa satu pilihan raya negeri perlu di adakan dalam masa 60 hari namun pelaksanaanya perlu dibuat dengan memikirkan keselamatan dan kesihatan rakyat apatah lagi COVID-19 masih menular.

“Jalan terbaik, semua pihak perlu melihat bagaimana untuk menghadapinya ke arah lebih baik dengan memastikan kes penularan COVID-19 yang sekarang ini mula menurun tidak terus meningkat.

“Apa yang berlaku di Sabah, dengan jumlah kes yang rendah kemudian dilaporkan meningkat di Semenanjung yang kebanyakannya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah hinggakan jumlah mencapai tiga angka perlulah dijadikan iktibar,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, dalam keadaan negara berada dalam fasa pemulihan, sewajarnya setiap ahli dan parti politik hendaklah menjadikan apa yang berlaku pasca PRN Sabah sebagai ukuran bagi memutuskan untuk PRN atau PRU akan datang.

“Bukankah ketika itulah ‘kluster politik’ menjadi tohmahan kerana keputusan yang telah mengundang kepada meningkatnya penularan pandemik COVID-19.

“Maka kerana itulah setiap pemimpin perlu bersikap matang matang dan sebarang tingkah laku atau apa-apa keputusan jangan sampai memberi musibah kepada rakyat kerana fokus utama sekarang mestilah kepada memulihkan ekonomi negara dan keselamatan negara.”

Ujarnya, mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat ini hanya akan mengundang pelbagai risiko walaupun garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kempen dan proses pengundian ditetapkan.

“PRN Sabah mesti jadi kayu ukur walaupun kita tak menolak amalan demokrasi tapi keselamatan dan kesihatan rakyat tidak boleh diambil mudah. Lebih dari itu Titah Agong agar kita fokus kepada rakyat dan memulihkan ekonomi mesti dijunjung,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.