Melaka: Tangguh PRN Jalan Terbaik Hingga Keadaan Mengizinkan – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff menegaskan bahawa darurat adalah jalan terbaik untuk Melaka bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga keadaan mengizinkan untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Dalam keadaan sekarang, pandemik COVID-19 masih menjadi penghalang untuk calon dan parti politik berkempen.

“Orang ramai juga khuatir untuk keluar mengundi dan kerajaan juga jangan mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan hari ini.

Jelasnya, langkah pembubaran DUN Melaka dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengatasi kemelut politik di negeri ini ekoran berlaku lompat-melompat untuk menjatuhkan kerajaan.

“Semua pihak dapat melihat langkah pembubaran DUN itu dapat memberhentikan tindakan wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan menjadikan lompat-melompat sebagai senjata atau ugutan terhadap sesebuah kerajaan.

“Mungkin kita telah memberi peluang sekali sahaja kepada pembentukan kerajaan hasil tindakan lompat-melompat itu, tetapi, jika ia mahu dijadikan berulang kali, maka, eloklah DUN sesebuah negeri itu dibubarkan sahaja dan kuasa pemilihan dipulangkan semula kepada rakyat.

“Budaya lompat-melompat sememangnya tidak sihat dalam politik dan kini Melaka telah menunjukkan bukti budaya itu dapat membunuh parti sendiri,” katanya.
Dilaporkan, Selasa lalu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka ekoran tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. – UMNO Online