Kabinet Perlu Lulus Segera RCI Terhadap Tommy Thomas, PM Perlu Campur Tangan Kes Adib – Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik kenyataan cadangan RCI terhadap Tommy Thomas dan berharap kabinet segera memberi lampu hijau berkaitan hal ini.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata RCI terhadap Tommy Thomas ini sudah menjadi perjuangan Pemuda UMNO Malaysia sejak beliau mengeluarkan buku ‘Justice in the Wilderness’.
“Kami tidak berhenti menyuarakan agar bekas AG diambil tindakan malahan puluhan laporan polis telah dibuat. Majlis tertinggi UMNO juga telah mendesak siasatan RCI terhadap Tommy Thomas.
“Jadi ia masa yang sangat sesuai dan perlu dibuat RCI, walaupun kerajaan mengambil masa yang amat lama untuk membuat keputusan. Kabinet tidak ada pilihan melainkan meluluskan penubuhan RCI agar integriti institusi Peguam Negara tetap utuh terpelihara. Orang ramai juga menanti jawapan segala ‘tuduhan liar’ Tommy dalam bukunya itu.
“Kami Pemuda UMNO percaya proses mencari kebenaran menerusi RCI harus dibenenarkan berlaku dengan setelusnya dan segala kepincangan dalam sistem keadilan negara ini, jika ada, dapat diperbaiki,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.
Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa Pemuda UMNO agak tersentak apabila RCI terhadap SPRM telah ditolak berikutan tindakan tiga pegawainya yang disyaki terbabit penyelewangan bahan bukti.
“Kami berpendapat kerajaan perlu meneliti semula keputusan tidak mengadakan RCI. Kami percaya RCI peluang membersihkan imej agensi itu dan memperbaiki kelemahan prosedur serta menulihkan kembali kenyakinan publik.
“Walaupun polis telah menjalankan siasatan ia fokus kepada unsur jenayah tetapi RCI boleh melihat sebarang kelemahan dan mengemukakan cadangan bagi memperkukuhkan organisasi.”
Dalam kenyataan berlainan, beliau turut menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob campur tangan bagi keadilan kematian anggota bomba Muhamad Adib Mohd Kassim
“Sekarang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob kami menaruh pengharapan bertindaklah kembalikan keyakinan kepada keadilan, seperti mana YAB pernah suarakan semasa menjadi ketua pembangkang dahulu.
“Kes adib ini kita perjuangkan bukan setakat kerana pembelaan terhadap kematian allahyarham, tetapi isu yang lebih besar adalah mengembalikan keyakinan kepada sistem keadilan negara.
“Isu yang lebih besar juga adalah mewujudkan suasana keyakinan bahawa tiada sesiapa yang tertinggal dalam mendapat hak pembelaan menerusi sistem yang telus serta tiada perbuatan jenayah yang dibiarkan tanpa mendapat hukuman mahkamah,” katanya lagi. – UMNO Online