‘Branding’ Semula UMNO, Mesra Golongan Muda Ke Arah Persiapan PRU-15 – Shahril


BESUT, 8 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan memberi penekanan untuk parti fokus mendekati golongan muda sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, cara yang terbaik adalah dengan memberikan penjenamaan semula kepada parti melalui cara yang bersesuaian dan mesra kepada golongan terbabit.

“Kita berhadapan dengan perubahan besar dalam landskap pengundi terutamanya dalam menguruskan 5.8 juta pengundi baharu dan bagaimana parti hendak mengurus kerana sebahagian besar daripada mereka ini yang tidak berparti dan tidak ada kesetiaan kepada mana-mana parti.

“Saya tekankan kepada penjenamaan kita mesti sesuai dengan generasi itu dengan mengambil kira dari segi persembahan, pemakaian, percakapan, platform serta ayat yang kita gunakan mestilah sesuai dengan generasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera dan Ketua UMNO Bahagian Besut Nawi Mohamad di Hotel Temu Primula Besut.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata pendekatan bagi mendekati generasi muda ini bukan hanya terletak kepada tanggungjawab Pergerakan Pemuda dan Puteri semata malah ianya merangkumi kewajipan keseluruhan kepimpinan.

“Politik baharu ini tidak melihat sesebuah parti hanya dengan sayapnya tetapi melihat secara keseluruhan maka parti secara amnya mesti mengubah suai apa yang perlu supaya relevan pada kumpulan dan generasi ini.

“Jika itu boleh diubah saya yakin UMNO ada peluang untuk memenangi hati sebahagian besar 5.8 juta ini tapi kalau kita kekal dengan satu cara yang terlalu tradisional seperti kelaziman saya takut mereka ini walaupun mereka tidak sayang kepada Pakatan Harapan tapi mereka ini boleh pergi ke parti yang lain jika UMNO brandingnya tidak boleh mesra orang muda,” ujar beliau.

Terdahulu Shahril melakukan lawatan kerja ke Terengganu hari ini bermula di Setiu dan berakhir di Besut bertemu kepimpinan negeri dan bahagian jawatankuasa empat peringkat.

“Saya di sini untuk dua program Penerangan yang mana lebih kepada sesi santai tapi dalam santai ada perkongsian isu-isu semasa dan utama tentang perjalanan politik parti dan politik Malaysia sebagai satu titik mula kepada memanaskan badan kita dalam berpolitik setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi saya fikir mengambil kesempatan ini lebih kepada mempersiapkan kesedaran jentera kita di semua peringkat di Terengganu yang perlu kita jelaskan dan bersiap sedia menjelang PRU15,” katanya. – UMNO Online