Antiviral Molnupiravir Harapan Baharu Malaysia, Kerajaan Perlu Beri Penjelasan Lanjut – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia memperoleh harapan baharu dalam usaha membendung sepenuhnya ancaman berbahaya pandemik COVID-19.

Ini kerana katanya, kerajaan Malaysia akan membeli ubat antiviral Molnupiravir yang didakwa telah terbukti secara klinikal dapat merawat pesakit COVID-19.

Namun begitu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan perlu ada penjelasan lanjut mengenai perkara ini bagi meyakinkan rakyat terhadap langkah kerajaan menggunakan Molnupiravir di Malaysia.

“Data daripada ujian klinikal menunjukkan ubat itu paling berkesan apabila digunakan pada peringkat awal jangkitan dan buat permulaan kerajaan telah membuat perjanjian perolehan ubat tersebut untuk 150,000 pesakit.

“Namun kita berharap perolehan itu dapat dipertingkatkan sejurus penggunaannya didapati sangat berkesan di Malaysia.

“Ini bagi mengelak isu perolehan pada masa depan ekoran tindakan membolot oleh negara kaya seperti yang pernah diperkatakan tentang vaksin COVID-19 dan kita juga berharap harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) diturunkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, ini supaya rakyat Malaysia dapat melakukan pemeriksaan kendiri sekerap mungkin sekali gus mengetahui pada peringkat awal kemungkinan telah dijangkiti.

“Seperti yang kita semua maklum mereka yang telah lengkap divaksin masih berisiko dijangkiti dan menjangkiti individu lain, maka ia sangat penting dalam persediaan negara membuka sepenuhnya sektor ekonomi dan sosial tidak lama lagi.

“Bagaimanapun ramai juga tertanya-tanya mengapa Malaysia memilih Molnupiravir berbanding ubat lain. Antaranya Baricitinib, Dexamethasone, Remdesivir, Favipiravir, Ivermectin, Hydroxychloroquine, REGN-COV2 (Casirivimab/imdevimab).”

Soalnya, apa kelebihan Molnupiravir berbanding ubat lain yang telah lama terhasil dan dilaporkan terbukti berkesan di negara lain.

“Sebagai contoh Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) pada Julai lalu dilapor berkata formulasi Baricitinib bagi mencegah risiko pesakit kategori satu dan dua COVID-19 daripada menghidap radang paru-paru sudah banyak digunakan di luar negara.

“Ubat Baricinab bersama-sama dengan remdesivir dikatakan terbukti berkesan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital berdasarkan hasil kajian di luar negara.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.