UMNO Sudah Serah Surat Pengguguran Keahlian Dua Bekas ADUN Melaka

KUALA LUMPUR, 7 Okt – UMNO telah menyerahkan surat rasmi pengguguran keahlian dua bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata surat itu diserahkan kepada Ketua UMNO Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, kelmarin dan diterima dua ADUN berkenaan yang juga sebelum ini ahli UMNO bahagian itu semalam.

Kedua-dua mereka adalah bekas ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

“Mengikut dua fasal dalam Perlembagaan UMNO, mereka berdua telah tergugur daripada keahlian UMNO,” katanya pada sidang media di bilik media Bangunan Parlimen hari ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN iaitu Idris dan Nor Azman serta Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Susulan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ADUN daripada UMNO yang telah mengkhianati kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) akan dipecat. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.