UMNO Perlu Menjadi Juara Di Hati Rakyat – Awang

KUALA PENYU, 7 Okt – UMNO perlu sentiasa menjadi juara di hati rakyat untuk membela dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, darurat, sakit dan musibah banjir.

Ketua UMNO bahagian Beaufort Datuk Awang Lakat berkata natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa yang turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka.

“Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, pemimpin UMNO di semua peringkat perlu cakna terhadap masalah rakyat dan berusaha membantu mereka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan program ziarah ke beberapa buah kampung di kawasan Parlimen Beaufort baru-baru ini.

Menurut Awang yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, pemimpin UMNO di semua peringkat perlu mengelak budaya hanya bertemu rakyat atau ahli semasa pilihan raya atau pemilihan parti sahaja.

“Kita harus kembali kepada landasan asal dengan menjadikan mantera ‘tradisi membela rakyat’ sebagai teras perjuangannya ketika ini,” katanya.

Awang turut berpuas hati dengan kepimpinan dan sayap UMNO di bahagian Beaufort yang mengamalkan budaya kerja berpasukan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial parti kepada masyarakat yang memerlukan di kawasan itu.

“Budaya ini perlu kita jadikan sebagai amalan berpanjangan jika ketua tidak dapat turun, timbalan, naib dan seterusnya ahli jawatankuasa dapat memainkan peranan masing-masing,” katanya lagi.

Menurut Awang juga program-program ziarah akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dan ahli kepada parti secara berterusan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.