Tangguh Dahulu PRN Melaka, Fikirkan Soal Keselamatan Rakyat Dalam Krisis COVID-19 – Alumni Parlimen Belia

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah sebaiknya ditangguhkan dahulu walaupun jalan terbaik adalah dengan menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Katanya, kini hampir 92 peratus rakyat malaysia telah divaksinasi tetapi bukanlah kayu pengukur untuk mengadakan PRN kerana ianya boleh diadakan semula setelah negara bebas dari COVID-19.

“Saya merasakan parti UMNO mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan rakyat Melaka, pada masa yang sama kita perlu memikirkan soal keselamatan dan ketenteraman awam dalam krisis COVID-19.

“Setiap pemimpin parti politik wajar mempertimbangkan sama ada pilihan raya ini perlu diadakan demi kemaslahatan rakyat. Pemimpin perlu tolak isu persengketaan dan mencari kata muafakat bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, dengan isu-isu kepimpinan ini akan memberi kesan terhadap ekonomi Melaka khususnya ekonomi rakyat.

“Rakyat sudah menderita akibat COVID-19 hampir dua tahun jadi tidak perlulah menambah beban rakyat lagi,” tegasnya.

Untuk rekod, baru-baru ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah membuat pertimbangan dan memberi persetujuan untuk membubarkan DUN atas nasihat daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.