Ahmad Maslan Tarik Diri Pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengumumkan penarikan dirinya daripada pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata faktor utama keputusan itu dibuat adalah bagi membolehkannya menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja sebagai Setiausaha Agung UMNO, lebih-lebih lagi dalam suasana politik mencabar ketika ini, selain mahukan lebih banyak ruang untuk mengutarakan pandangan di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen.

“Saya suka memberikan pandangan, kalau saya duduk di kerusi timbalan speaker itu saya nak cakap apa, suruh orang duduk, suruh orang keluar, jadi fungsi saya yang aktif itu tidak dapat saya teruskan. Lagipun dari mula hari itu Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi,” katanya.

Dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini, Ahmad berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pagi ini.

Ahmad berkata perbincangan juga telah dibuat bersama presiden, timbalan, dan tiga naib presiden UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Jawatan timbalan speaker kosong setelah Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lepas.

Ditanya berhubung calon lain yang dinamakan bagi jawatan itu, Ahmad berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri namun berpandangan eloklah sekiranya ia dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO juga. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.