Tindakan 4 ADUN Bukan ‘Demi Rakyat’, Pentingkan Diri… Tolak Mereka Jika Tanding PRN – Haryaty

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Wanita UMNO Melaka menyifatkan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai mementingkan diri dan bukan untuk kepentingan rakyat.

Menurut Pengerusi Sekretariat Professional Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah pihaknya merasa sedih dan marah dengan tindakan empat Adun tersebut.

“Saya merasa sedih dan geram dengan politik yang berlaku dalam negeri Melaka.

“Saya sedih dengan nasib rakyat yang baru mula mencari makan seperti pembawa beca, peniaga kecil atau peniaga besar. Sedih dengan nasib JPKK yang sedang seronok memberikan khidmat kepada rakyat tiba-tiba kena berhenti.

“Sedih dengan wanita yang sedang bergelut kesusahan ditinggalkan, diancam jenayah, keretakan rumahtangga yang mencari tempat perlindungan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap tapi akhirnya…,” ujarnya melalui satu kenyataan di Facebook tentang hal ini.

Haryaty yang juga merupakan Ketua Wanita Kota Melaka berkata tindakan itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan perjuangan sebenar.

“Realitinya, keempat-empat YB yang tampil dengan alasan ‘demi rakyat’ adalah YB-YB yang pentingkan diri sendiri bukan perjuangan ‘membakar diri’.

“Mereka mengambil kesempatan dan mencari keuntungan diri dengan jawatan yang disandang dalam ketidakstabilan kerajaan.

“Walaupun Pilihan Raya Negeri akan berlaku sepertimana pembubaran YB DS Ab Rauf Yusoh yang diumumkan, – Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti & Pemecatan Ahli Parlimen/ DUN wajar disegerakan pelaksanaannya,” tegasnya lagi.

Beliau turut mengesa agar pengundi dan jentera Wanita UMNO Melaka untuk menolak keempat-empat Adun tersebut sekiranya mereka bertanding di dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Semalam Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam memberi persetujuan untuk membubarkan DUN.

Perkara itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh sekaligus memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.