Kawal Harga, Tambah Bina Rumah Mampu Milik Antara Cadangan Ahmad Maslan Atasi Isu Pemilikan Rumah

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa kerajaan segera mengambil beberapa langkah bagi mengatasi isu pemilikan rumah bagi rakyat di negara ini.

Antara cadangan Ahmad yang juga Setiausaha Agung di Twitternya adalah seperti kerajaan perlu mengawal harga rumah dan menambah pembinaan rumah mampu milik.

“Maka kerajaan perlu segera: 1. Kawal harga rumah; 2. Tambah bina rumah mampu milik; 3. Kawal sewa rumah; 4. Banyakkan sewa beli dan; 5. Teruskan seperti RMR (rumah mesra rakyat), PRIMA (Perumahan Rakyat 1Malaysia), PPR (projek perumahan rakyat), SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad), PP1M (Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia) dan lain-lain,” twitnya.

Katanya juga, ini memandangkan rumah adalah keperluan asas bagi setiap rakyat dan semestinya menjadi milikan sendiri bukan menyewa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai satu laporan media yang menyebut kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2021 PropertyGuru mendapati harga yang tinggi menjadi penghalang utama bagi pencari rumah walaupun empat daripada lima rakyat Malaysia berhasrat untuk membeli hartanah pada masa akan datang dan kajian yang sama mendapati bahawa 84 peratus rakyat Malaysia percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan kerajaan untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik.

Untuk rekod, baru-baru ini ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan membina 500,000 rumah mampu milik melalui rancangan tersebut dalam usaha memberi kemudahan dan peluang kepada kumpulan B40 dan M40 memiliki kediaman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.