UMNO Sabah Sedia Berdepan Pilihan Raya Pada Bila-bila Masa – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengalu-alukan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan bertanding di semua kerusi tradisi UMNO dalam pilihan raya Parlimen akan datang.
Katanya, jentera UMNO Sabah di semua peringkat juga sememangnya sudah bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.
“Semangat mereka tinggi dan persiapan mereka begitu menyeluruh untuk memastikan kemenangan UMNO dalam pilihanraya parlimen nanti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran turut mengucapkan selamat kembali kepada pihak yang memohon untuk masuk semula menyertai UMNO.
“Ramai di kalangan mereka ini adalah ahli-ahli UMNO Tuaran yang mendakwa dahulunya nama mereka telah diambil sebaga ahli oleh parti lain tanpa kesedaran mereka melalui penyalahgunaan butiran peribadi tanpa kerelaan mereka dan sebagainya.
“UMNO di Tuaran adalah sebuah parti yang banyak pengalaman dan mempunyai ramai pemimpin akar umbi dan pengikut yang tidak pernah goyah dan goyang walaupun ditekan dari semua sudut semasa kami kalah.
“Kami sentiasa istiqomah dalam perjuangan dan tidak pernah luntur semangat. Dengan izin Allah, UMNO akan kembali sebagai sebuah kerajaan berlegitimasi di peringkat pusat dan negeri Sabah,” ujar beliau. – UMNO Online