UMNO Melaka Bersedia Jika Pilihan Raya Negeri Diadakan

MELAKA, 4 Okt – UMNO Melaka menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam untuk meleraikan masalah kekalutan politik negeri ketika ini, namun sudah bersedia sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusuh berkata menurut Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri (Melaka), Tun Mohd Ali boleh ‘prorogue’ atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menangani masalah yang sedang dihadapi Melaka.

Bercakap pada sidang media di rumahnya di Masjid Tanah di sini hari ini, beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka yang menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sehingga menyaksikan kerajaan negeri kini tumbang.

“Kita bersama-sama bangunkan kerajaan ini selama 19 bulan, dan pencapaian kita baik, namun kita digegarkan dengan (kemelut) politik ini oleh kerana kepentingan serta cita-cita individu tertentu. Kemelut hari ini harus dilihat sebagai satu cabaran baharu bagi politik di Melaka dan negara,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2) , Amanah (2) dan Bebas (1). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.