RMK-12 Diharap Kembalikan Semula Populasi ‘Diamond Society’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) mampu mengembalikan semula penstrukturan semula masyarakat yang berubah sejak serangan pandemik COVID-19.

Katanya ini termasuk konsep diamond society iaitu ianya membentuk populasi golongan pertengahan lebih ramai berbanding yang lain.

“Menyentuh berkenaan penstrukturan semula masyarakat kita semua sedia maklum kesan besar serangan pandemik telah merubah struktur susun lapis masyarakat.

“Jika sebelum serangan COVID-19, masyarakat Malaysia adalah bersusun lapis dalam bentuk masyarakat berlian atau permata dalam istilah sosiologi dipanggil diamond society.

“Namun kesan ke atas ekonomi negara disebabkan pandemik telah menyebabkan ramai hilang pekerjaan, pelbagai usaha niaga ditutup dan ramai pula yang muflis,” katanya ketika membahaskan usul RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.

Presiden UMNO itu juga menggesa kerajaan untuk bertindak agresif untuk mewujudkan semula masyarakat ini dan mengenepikan pyramid society.

Jelas beliau ini kerana konsep ini meliputi golongan miskin tegar paling ramai manakala rakyat yang berpendapatan menengah menguncup dan mereka yang berpendapatan tinggi adalah kecil.

“Oleh yang demikian kerajaan perlu mengambil langkah yang drastik untuk strukturkan kembali masyarakat ini.

“Kita lihat dahulu mereka yang berada dalam kategori M40 sekarang berada di B40 dan lebih daripada setengah juta isi rumah telah berada di dalam kategori ini.

“Maka saya harapkan melalui pelaksanaan RMK12 ini kita akan sama-sama berjaya menstrukturkan kembali masyarakat secepat mungkin, agar menjadi masyarakat berlian seperti yang wujud sebelum tamat RMK12 ini,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau juga turut menggariskan beberapa cadangan lain kepada kerajaan termasuk memberikan diskaun sebanyak 30 peratus tol kepada pengguna lebuh raya dengan tidak memanjangkan konsesi malah melakukan pengstrukturan semula, penggunaan satu kad untuk semua penggangkutan awam dan memberikan latihan semula kepada penganggur mengikut kebolehpasaran mengikut industri.

Ahmad Zahid juga mengharapkan agar melalui RMK12 ini juga dapat memperkukuhkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), AIM Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN dimantapkan, permudahkan rakyat untuk peroleh rumah dan memperbaiki pendidikan khas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.