Berikan Mandat Kepada Rakyat Melaka Tentukan Kerajaan Negeri Baharu – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan rakyat Melaka harus diberikan semula mandat untuk memilih kerajaan baharu melalui proses pilihan raya negeri (PRN).

Beliau juga turut menyatakan bahawa tidak mempunyai masalah untuk UMNO kehilangan negeri berkenaan asalkan keputusannya dikembalikan kepada rakyat.

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tapi tunggulah.

“Saya fikir elok kalau diadakan PRN negeri yang baharu supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar.

“Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk memilih mana kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negeri dan negara kita, Insya-Allah,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian ekoran tindakan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkuat-kuasa hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.