Ziarah Kasih Tanda Cakna, Interaksi Secara Terus Dengan Rakyat – Ahmad Jazlan

MACHANG, 3 Okt – Program ziarah kasih menjadi satu tanggungjawab dan amat bermakna bagi Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Jelas beliau, tujuan ziarah kasih diadakan adalah untuk menyantuni golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, orang sakit dan sebagainya dalam usaha mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Dalam program ziarah kasih ini sekurang-kurangnya rakyat dapat menyatakan apa jua permasalahan di kawasan kampung, masalah peribadi mahupun keluarga agar dapat disampaikan terus kepada wakil rakyat.

“Ini adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk membolehkan antara kita dengan rakyat agar hubungan ini tidak akan terputus maklumat dan terus membantu rakyat.

“Insya-Allah, program ini akan terus kekal dibuat dan bukan kerana hendak pilihan raya umum (PRU)… tidak, selepas PRU lalu terus buat program-program yang sebegini dan kalau hendak sokongan rakyat mesti melihat kecaknaan kepada mereka dan itulah menjadi pra syarat yang utama,” katanya kepada UMNO Online, di sini, Sabtu.

Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan itu lagi program ziarah kasih sebenarnya dapat membolehkan beliau berinteraksi dengan rakyat.

“Bukan semua rakyat di kawasan Parlimen Machang ini berkesempatan ke Pusat Khidmat Rakyat… tidak. Ada sebahagian besar kena turun ke bawah untuk mendengar apa yang mereka hendak suarakan kepada kita.

“Kebiasaannya saya akan menziarahi rakyat dalam sekitar dua kali seminggu terutamanya apabila hari cuti dan kalau musim Parlimen bersidang mungkin saya hanya mampu sekali seminggu selebihnya bertugas di Pusat Khidmat dan lain-lain urusan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.