Wanita UMNO Kluang Terus Melangkah, Lupakan Kisah Silam – Sharifah Azizah

KLUANG, 3 Okt – Wanita UMNO Kluang bertekad untuk menebus kembali dengan melupakan kisah-kisah silam dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata biarpun usaha sedikit terbatas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara, namun ianya lebih mendekatkan lagi hubungan antara satu sama lain khususnya dalam usaha membantu rakyat terutama mereka yang terkesan dan sebagainya lagi ketika musim wabak melanda.

“Bagi Wanita UMNO Kluang insya-Allah segala peringatan yang diberi dan segala teguran yang dilemparkan oleh pimpinan parti serta gerak kerja yang akan dilaksanakan insya-Allah kita akan laksanakan sebaik mungkin.

“UMNO Kluang walaupun kita kalah tiga kerusi pada PRU lepas, saya yakin dan percaya dengan adanya gabungan yang baik serta strategi yang betul daripada parti, insya-Allah UMNO Kluang khususnya jentera wanita akan bergerak dengan lebih pantas,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Terdahulu beliau bersama pimpinan UMNO Kluang yang lain menerima kunjungan Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan dan turut serta Ketua UMNO Bahagian Kluang Datuk Jais Sarday.

Mengimbau selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan pada PRU lalu, Sharifah menjelaskan memang diakui pendokong serta jentera parti khususnya Wanita UMNO terkesan dengan keputusan tersebut namun hari ini masing-masing telah bangkit.

“Semangat Wanita….mula-mula kalah pilihan raya masing-masing agak kemurungan tetapi hari ini kita bangkit dengan semangat baharu, tindakan serta gerak kerja baharu dan berstrategik.

“Dulu bukan kata kita tidak betul dan sebagainya malahan ada juga kesilapan yang berlaku di peringkat bahagian-bahagian. Mungkin kelemahan UMNO itu sendiri, BN, calon dan pelbagai faktor lain…tetapi insya-Allah percaya dan yakinlah kemurungan kami dah habis dan ditambah dengan semangat yang ada hari ini, insya-Allah kita akan terus melangkah ke depan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.