UMNO Alu-alukan ‘Sireh Pulang Ke Gagang’… Selagi Kembali Dengan Keikhlasan – Presiden
KUALA LUMPUR, 3 Okt – UMNO mengalu-alukan ‘sireh pulang ke gagang’ kepada mereka yang akhirnya menyedari UMNO jua parti yang benar, tulus serta jujur dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa hari lalu bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Putrajaya bersama lebih 120 ahli parti serpihan itu kembali menyertai UMNO.
“Sebelum itu ada pimpinan PPBM telah pun terlebih dahulu meninggalkan PPBM bagi menyertai semula parti terbesar bangsa Melayu.
“Difahamkan ramai lagi pimpinan PPBM merisik peluang kembali ke pangkuan UMNO. Insya-Allah kita perhalusi setiap permohonan dengan berlapang dada dan jiwa yang besar.
“Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, malah ahli biasa mana-mana parti sekali pun kerana UMNO akan menggembleng segenap kekuatan bagi berdepan PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menerusi catatan di Facebook.
Begitu juga tambahnya dengan mana-mana bekas ahli UMNO yang mempamerkan kesetiaan tidak berbelah-bahagi seperti Datuk Lokman Noor Adam.
“Selagi kepulangan mereka kepada UMNO dengan hati nurani yang ikhlas berserta roh dan semangat untuk perjuangan UMNO yang mulia.
“Jangan samakan perkembangan itu dengan perbuatan curang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya yang jelas merupakan penipuan kepada rakyat,” tegasnya.
Justeru katanya, dengan izin dan inayah Allah S.W.T, insya-Allah UMNO akan bangkit dan gemilang pada PRU-15. – UMNO ONLINE