Struktur Berorganisasi UMNO Tidak Mampu Ditandingi Parti Lain – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berpandangan bahawa tidak ada parti lain yang mampu menandingi UMNO meliputi aspek struktur berorganisasi.

Katanya ini kerana parti keramat ini sudah tertubuh begitu lama dan berbeza jika dibandingkan dengan parti yang baharu ditubuhkan.

“Struktur ini amatlah susah untuk diganggu gugat oleh parti-parti lawan kerana struktur ini sudah lama dan ia berakar umbi di peringkat bawah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, UMNO juga mempunyai prinsip yang tepat dalam membawa parti ini ke arah manfaat kepada rakyat.

“UMNO ini merupakan sebuah pertubuhan siasah yang mempunyai kaedah untuk memastikan bahawa kepentingan orang Melayu itu akan terjaga itu perkara yang penting.

“UMNO relevan sebagai sebuah pertubuhan parti, mempunyai Perlembagaan dan tahu hala tuju ke mana kita hendak bawa negara ini.

“Kita bukan seperti parti lain yang tidak ada hala tuju dan tidak tahu yang hendak dilakukan, sebab itulah ahli-ahli mereka telah sedar,” ujar beliau.

Beliau demikian ketika ditemui sejurus menerima borang keahlian daripada 120 orang termasuk Ketua PPBM Bahagian Putrajaya Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir yang mengumumkan keluar dari parti itu berkuatkuasa serta merta dan kembali menyertai UMNO, semalam.

Terdahulu Erwan berkata keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dan percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu seperti mana yang dinyatakan di dalam asas dan tujuan penubuhan UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.