Masalah Banjir Kilat di Shah Alam Perlu Ditangani Segera – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari meluahkan kebimbangan rakyat di kawasan berkenaan yang sering kali berhadapan dengan banjir kilat sejak awal minggu lalu.

Malah katanya setiap kali hujan lebat penduduk yang tinggal di kawasan berisiko mula khuatir sekiranya kejadian bencana alam ini berulang kembali.

“Setiap kali awan mendung berarak diiringi guruh berdentum di langit kusam, penduduk Shah Alam mula bimbang.

“Bukan disebabkan pakaian di ampaian lambat kering tetapi banjir kilat yang boleh berlaku bila-bila masa semasa hujan lebat menderu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata antara penduduk yang terjejas adalah di Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Persiaran Jubli Perak dan Kampung Padang Jawa.

“Mereka terpaksa membersihkan rumah setelah air naik ke dalam rumah mereka rentetan daripada limpahan air yang banyak dari parit dan longkang.

“Pada saat ini, tidak perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak melainkan semua pihak berusaha untuk mengelak banjir kilat berulang.

“Harapan kita satu usaha holistik harus digembleng oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah banjir kilat agar tiada pihak mengalami kerugian material mahupun nyawa,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.