UMNO Gesa Siasatan Kes Muhammad Adib Diteruskan Hingga Kebenaran Dirungkai

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti terbabit tidak pernah melupakan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan sentiasa menuntut keadilan ditegakkan.

Tegasnya, UMNO berpegang kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 berhubung inkues kematian anggota bomba tersebut iaitu kematian Muhammad Adib selepas insiden rusuhan pada 27 November 2018 adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.

“UMNO sentiasa memerhati rapat perkembangan kes tersebut selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan kes itu,” katanya dalam kenyataan melalui laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menggesa siasatan kes itu yang telah menjadi suatu aspek kepentingan umum diteruskan sehingga kebenaran dapat dirungkai.

“UMNO percaya pihak berkuasa perlu diberi masa dan ruang untuk melaksanakan siasatan mereka bagi mencari kebenaran.

“Justeru, kenyataan seorang menteri baru-baru ini bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu amat mendukacitakan,” katanya lagi.

Dilaporkan, lima hari lalu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018. – UMNO Online