UMNO Bahagian Kuala Langat Sasar Tiada Rakyat Tercicir Terima Bantuan Makanan

KUALA LANGAT, 30 Sept – UMNO Bahagian Kuala Langat mensasarkan tiada dalam kalangan rakyat yang tercicir daripada menerima bakul makanan khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Ketuanya, Zurihan Yusop berkata antara pendekatan yang dilakukan adalah dengan mewujudkan sekretariat bagi menguruskan bantuan tersebut.

“Kita saling berkongsi maklumat dan sebarang info yang kami peroleh insya-Allah jentera akan sampai ke pintu rumah.

“Kami tidak mengamalkan penyerahan bantuan makanan secara berkelompok.

“Jentera kami pergi ke pintu-pintu rumah untuk menghantar dan kita memudahkan terutama mereka yang berkuarantin jadi tiada wakil untuk keluar mengambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Daerah Kuala Langat baru-baru ini untuk memberikan sumbangan sarapan pagi kepada 8,000 pelajar sepanjang pemberian vaksin tersebut.

Sementara itu ketika diminta mengulas berkenaan pemberian suntikan vaksin yang diberikan kepada remaja beliau turut memberi pesanan kepada ibu bapa untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana golongan termasuk anti vaksin.

“Ibu bapa jangan takut dan khuatir tentang jaminan kerajaan berkenaan keselamatan vaksin, memang kita akui ada dalam kalangan orang dewasa yang terkesan selepas mengambil vaksin terutama mereka yang ada seperti alahan dan sebagainya.

“Namun kita diyakinkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa mereka ini akan terus diberi rawatan sebab itu di peringkat awal ibu bapa dan pelajar ini sudah diberi pesanan sekiranya ada yang kurang baik selepas menerima vaksin harus segera ke hospital untuk menerima rawatan.

“Ini jaminan daripada KKM jadi saya kira ibu bapa tidak perlu terlalu risau keadaan anak mereka untuk menerima vaksin,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.