RMK-12: UMNO Komited Usaha Kerajaan, Harap Inisiatif Bantu Rakyat Dilaksana Dengan Jaya

KUALA LUMPUR, 30 Sept – UMNO komited mendokong kerajaan yang ada di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengharapkan agar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta inisiatif membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat keseluruhan rakyat.

Demikian maklum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan media berkaitan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam tadi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.

“UMNO juga berharap agar krisis kesihatan dan krisis ekonomi dapat diselesaikan seberapa segera agar rakyat dapat hidup dalam suasana Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya.

Dilaporkan, Isnin lalu Perdana Menteri mengumumkan bahawa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang merangkumi separuh pertama pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bakal membawa Keluarga Malaysia ke hadapan dengan menstruktur semula ekonomi negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.

Pelan pembangunan 2021-2025 dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ ini bertujuan menangani isu semasa, memulih serta merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang malah ia adalah agenda besar pemulihan negara dalam usaha kerajaan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat serta menjana semula dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.