Akta Antilompat Parti dan Pemecatan Ahli Parlimen Wajar Dilaksanakan- Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan cadangan mewujudkan Akta Antilompat Parti dan Pemecatan Ahli Parlimen 2021 adalah wajar dilaksanakan.

Katanya ini kerana setakat ini tidak ada sebarang akta atau undang-undang dalam negara berkaitan lompat parti pada ketika ini.

“Kita pernah menyaksikan begitu ramai wakil rakyat sewenang-wenang lompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tanpa mempedulikan tentang rakyat mengundi mereka atas dasar parti politik yang mereka wakili.

“Ini suatu lagi penipuan terhadap pengundi selain daripada penipuan manifesto,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi sewajarnya kerusi kawasan itu dipertandingkan semula bagi mengabsahkan pilihan pengundi.

“Pihak berkuasa juga sukar untuk mengaitkan mana-mana perbuatan lompat parti dengan unsur jenayah.

“Terutama dalam mengaitkan pihak yang lompat parti kemudian dapat jawatan dengan anasir sogokan.

“Gejala yang boleh menghakis keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi negara,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.